Isu arak: PM beri amaran keras kepada Tiong

Foto Fail

SEPANG: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, dan kementerian itu diarah memastikan insiden penghidangan arak dalam acara rasmi kerajaan tidak berulang.

Amaran keras itu diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan penjelasan mengenai penghidangan selepas acara rasmi tidak boleh diterima kerana ia tetap berlaku dalam majlis yang sama dan bertentangan dengan dasar kerajaan.

Anwar turut mengingatkan Jemaah Menteri dan jentera kerajaan agar tidak cuai dalam mematuhi garis panduan protokol rasmi susulan insiden tular di majlis Travel Meet.

Anwar menegaskan penjelasan bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas majlis rasmi selesai tidak boleh diterima kerana dasar kerajaan secara tegas melarang sebarang penghidangan arak dalam program kerajaan, tanpa mengira masa atau fasa acara.

“Penjelasan MOTAC bahawa minuman itu dihidangkan selepas selesai acara rasmi tidak wajar sama sekali kerana ia tetap berlaku di tempat dan majlis yang sama.

“Saya telah memberikan peringatan keras kepada menteri dan kementerian agar perkara sebegini tidak berulang,” katanya.

Anwar juga berkata, seluruh jentera kerajaan termasuk Jemaah Menteri perlu mengambil iktibar daripada insiden itu dan tidak cuai dalam melaksanakan garis panduan protokol rasmi kerajaan.

“Saya peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” tegasnya.