Isteri Lihat Suami ditembak 18 das

Foto Sinar Harian

PASIR MAS: Wan Fatihah Mat Hussin 35, seorang isteri yang sarat mengandung hanya mampu memeluk mayat suaminya yang ditembak sebanyak 18 das oleh dua lelaki yang dikenali di depan rumah mereka di Kampung Bering, Sungai Golok dekat Thailand kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, Wan Fatihah berkata suaminya, Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, seorang peniaga beg terpakai secara dalam talian sedang memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah.

Menurutnya, dua suspek datang dari arah belakang suaminya melepaskan tembakan menggunakan dua pucuk pistol menyebabkannya rebah dalam keadaan berlumuran darah.

“Kedua-dua lelaki suspek melepaskan tembakan sehingga peluru pistol masing-masing habis sebelum mereka berjalan meninggal kawasan rumahnya tanpa rasa bersalah.

“Mereka kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah trak pikap. Saya hanya mampu menjerit sekuat hati untuk meminta bantuan selepas melihat keadaan suami yang berlumuran darah,” katanya.

Wan Fatihah memberitahu, suaminya ditembak di leher dan badan.

Hasil bedah siasatan di Hospital Sungai Golok mendapati Mohd Fuad terkena 18 das tembakan. Jenazahnya dkebumikan di Tanah Perbukuran Islam Kampung Apam di sini semalam.