
SEREMBAN: Darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Dr Mohamad Abd Razak ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menitahkan pengurniaan Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) kepada Prof Emeritus Dr Mohamad Abd Razak ditarik balik bagi menjaga kebesaran dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
Pendaftar Darjah, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, berkata Mohamad dianugerahkan DSNS yang membawa gelaran Datuk pada 2004.
Sebelum ini, Mohamad dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baru.
Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar yang tamat tempoh lantikannya pada 31 Oktober 2021.
Beliau adalah seorang Pakar Bedah Ortopedik terlatih yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dan Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari Fakulti Perubatan UKM.