Israel Tahan 9 lagi Sukarelawan Malaysia

Foto Astro Awani

KUALA LUMPUR: Tentera Israel menahan sembilan lagi rakyat Malaysia apabila kapal yang dinaiki mereka dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza dipintas pada jam 10.50 pagi waktu Malaysia.

Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience itu adalah ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.

Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Selain itu, kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.

Mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Misi kali ini dijalankan di bawah gabungan FFC and Thousand Madleens to Gaza (TMTG), dengan 10 bot berlepas pada 27 September lalu dari Itali, manakala kapal Conscience dilancarkan di Porto Otranto, Itali dengan peserta berlepas pada 30 September.