
KUALA LUMPUR: Chartered Management Institute (CMI) United Kingdom menganugerahkan Pengarah Urusan Kumpulan, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) merangkap Ahli Lembaga Pengarah World Trade Center’s Association (WTCA), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Felo Chartered Management Institute (FCMI).
Ketua Pegawai Eksekutif CMi United Kingdom, Ann Francke menyampaikan anugerah itu di majlis Majlis Anugerah dan Penyampaian Sijil Felo AeU–CMI di WTCKL, kelmarin.
Pengiktirafan itu adalah hasil kerjasama strategik di antara Asia eUniversity (AeU) dan CMI UK yang bertujuan mengangkat tahap profesionalisme dan kepimpinan global melalui penganugerahan gelaran Felo CMI kepada tokoh-tokoh terkemuka di rantau ini.
FCMI adalah tahap keahlian tertinggi dalam CMI yang melambangkan pengalaman luas serta rekod prestasi yang konsisten dalam memberi impak strategik, inovasi, dan kecemerlangan kepimpinan.
Irmohizam juga adalah alumni AeU dalam Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA). Sebagai seorang felo, Irmohizam kini menjadi sebahagian daripada komuniti profesional elit yang membentuk masa depan kepimpinan di UK dan peringkat antarabangsa.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas pengiktirafan oleh CMI ini. Dengan penganugerahan Felo ini, saya berharap dapat terus menyumbang kepada pembangunan kepimpinan yang beretika, inovatif dan berdaya saing di peringkat global, bukan sahaja dalam organisasi saya, malah merentasi sektor awam dan swasta dalam dunia yang semakin mencabar ini” katanya.