Insentif Pembajakan Naik RM60 per Hektar

Foto Hiasan/ Bernama

Kerajaan bersetuju melaraskan kadar Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 per hektar bagi setiap musim, bermula tahun ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan selain itu, kerajaan bersetuju memperkenalkan insentif baharu, Insentif Penuaian Padi, pada kadar RM50 per hektar bagi setiap musim kepada pesawah, juga bermula tahun ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, KPKM komited memastikan insentif pembajakan serta penuaian padi kepada pesawah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

“Pelaksanaan insentif pembajakan kepada pesawah itu membabitkan dua kaedah agihan utama. Pertama, pembayaran tunai tambahan sebanyak RM60 per hektar kepada pesawah yang telah selesai melakukan kerja-kerja pembajakan dan sudah membuat tuntutan kerja-kerja pembajakan bagi penanaman pada musim pertama 2025.

“Kedua, pembayaran sebanyak RM160 per hektar mengikut mekanisme sedia ada bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP), iaitu melalui penyedia perkhidmatan atau pemilik jentera bagi penanaman padi musim kedua 2025,” kata kenyataan itu