Inkues Zara Qairina: Peguam Ibu Bakal Panggil 6 Saksi Pakar

Foto Fail

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di Kota Kinabalu diberitahu bahawa peguam yang mewakili ibu Zara Qairina Mahathir, Datuk Rizwandean M. Borhan akan memanggil enam saksi pakar dalam prosiding inkues kes kematian remaja berusia 13 tahun itu. Antara saksi pakar yang akan dipanggil ialah Dr Linthini Gannetion, Dr Tay Eue Kam, Dr Dzulkiflee Ismail selaku pakar tulisan tangan dan pemeriksa dokumen, serta Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa sebagai pakar sains forensik.

Rizwandean turut memaklumkan pihaknya bercadang memanggil pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli dan pakar psikiatri Dr Wong Haw Huo, selain beberapa saksi lain termasuk ahli keluarga Zara Qairina. Beliau juga mengesahkan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung yang sebelum ini memberi keterangan sebagai saksi ke-67 akan dipanggil semula dalam prosiding pada Mei akan datang.

Dalam prosiding hari ini, saksi ke-70 iaitu juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer PDRM, ASP Mohamad Zaidi Abu mengemukakan beberapa imej perbualan WhatsApp yang diekstrak daripada sebuah telefon bimbit berlabel WF11 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. Keterangan saksi ke-70 masih belum selesai dan akan disambung dalam prosiding seterusnya yang dijadualkan pada 18 Mei.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira jam 4 pagi. Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos 2025 selepas meneliti laporan siasatan polis, sebelum itu turut mengeluarkan perintah menggali semula kubur allahyarham bagi tujuan bedah siasat.