Inkues Zara: Mustahil Boleh Masukkan 53kg Dalam Mesin Basuh

Foto Facebook

KOTA KINABALU: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa adalah mustahil untuk menghidupkan mesin basuh jika seseorang dengan berat 53 kilogram (kg) dimasukkan ke dalamnya.

Beliau yang menjalankan bedah siasat ke atas Zara Qairina Mahathir, 13, berkata demikian ketika ditanya Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues mengenai kemungkinan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Menyambung keterangannya pada hari kedua inkues, Dr Jessie, 58, mengakui beliau melihat ada mesin basuh di tingkat bawah asrama yang diduduki Zara Qairina ketika pemeriksaan lokasi penemuan pelajar Tingkatan Satu itu sebelum ini tetapi beliau tidak memeriksa saiz peralatan itu.

Pegawai Pengendali: Ada jumpa mesin basuh?

Dr Jessie: Ya, ada.

Pegawai Pengendali: Di mana?

Dr Jessie: Di tingkat bawah, berdepan dengan tangga.

Pegawai Pengendali: Berapa banyak?

Dr Jessie: Saya tidak ingat, tapi lebih daripada satu.

Pegawai Pengendali: Saiz mesin basuh?

Dr Jessie: Mesin basuh domestik, bukan industri.

Pegawai Pengendali: Ada kemungkinan si mati dimasuk ke dalam mesin basuh?

Dr Jessie: Saya tidak memeriksa saiz tong, tapi saya diberitahu berat arwah ialah 53 kilogram. Saya tidak tahu berat 53-kilogram boleh muat dalam mesin basuh itu. Tapi, saya tidak percaya ia boleh dihidupkan dengan berat 53 kilogram.