Inkues Zara: Diari ada Tulisan Tangan Orang Lain

KOTA KINABALU: Pemeriksa dokumen Jabatan Kimia Malaysia, Nurul Atiqah Mohd Noh, menemui tulisan tangan orang lain dalam sebuah buku milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang diperiksanya sebelum ini.

Ketika membacakan keterangan bertulisnya di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini, Nurul Atiqah berkata tulisan tangan itu ditemui dalam buku bertanda ‘W3’ di beberapa muka surat.

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat 2, 7 hingga 14, 25 hingga 37, 46, 58 hingga 64 dan 73 hingga 89 menunjukkan perbezaan yang signifikan yang mencukupi dalam ciri-ciri tulisan tangan daripada contoh tulisan tangan ‘SA’ (tulisan tangan Zara Qairina).

“Oleh itu, saya berpendapat tulisan tangan yang dipertikaikan ini tidak ditulis oleh penulis contoh (Zara Qairina).

“Tulisan tangan yang dipertikaikan pada ‘W3’ pada muka surat satu adalah campuran tulisan tangan penulis contoh (Zara Qairina) dan seorang yang lain,” katanya.

Buku bertanda W3 itu, katanya ialah sebuah buku ‘Diamonds’ yang beliau nomborkan dari muka surat satu hingga 103, bertarikh antara 16 November 2024 dan 24 Mei 2025, mengandungi tulisan tangan yang dipertikaikan atau dipercayai milik arwah Zara Qairina.

Secara keseluruhan, Nurul Atiqah memeriksa sebanyak 15 helai kertas, empat buku nota dan dua buku teks yang mengandungi tulisan tangan bagi menentuksan sama ada tulisan terbabit milik arwah Zara Qairina atau bukan.