
SEREMBAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan proses pengiraan undi awal bagi Pilihanraya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang berlangsung semalam hanya akan bermula pada 5 petang, Sabtu ini.
SPR menjelaskan sebuah poster infografik memaparkan Perikatan Nasional (PN) mendahului undi awal bagi PRN berkenaan yang tular di media sosial adalah palsu dan tidak benar.
“Proses kiraan pengundian awal PRN Negeri Sembilan hanya akan bermula pada 5 petang, 1 Ogos 2026 selepas selesai urusan pengundian biasa,” menurut hantaran itu.
SPR turut menasihatkan orang ramai agar merujuk kepada pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat sahih berhubung keputusan pilihanraya.
“Elakkan daripada menyebar atau mempercayai sebarang maklumat palsu kerana ia menjejaskan kelancaran proses pilihanraya,” menurut hantaran Itu.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan semalam melibatkan secara keseluruhan seramai 22,339 pemilih dengan 16,467 orang mengundi secara fizikal merangkumi 11,293 tentera dan pasangan serta 5,174 polis dan pasangan manakala selebihnya mengundi secara pos.
Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal melaksanakan tanggungjawab mereka sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan SPR.
Sabtu ini, 867,151 pengundi biasa akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baru, yang menyaksikan 103 calon merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).