Influenza A berbahaya, bermutasi

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Apa beza Influenza A dan Influenza B? Yang mana lebih berbahaya? Saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Muhammad Amir Yunus, berkata Influenza A lebih berbahaya berbanding virus Influenza B kerana ia kerap bermutasi dan boleh menjangkiti burung, babi dan haiwan lain.

Menurutnya, faktor itu dilihat menjadi penyumbang kepada kadar mutasi yang tinggi. Katanya, situasi yang berlaku ketika ini berkemungkinan bermusim memandangkan hemisfera Barat terutama Eropah kini memasuki musim luruh.

“Namun, kes-kes jangkitan selesema di United Kingdom terutamanya masih terkawal dan stabil. “Malah, kes-kes jangkitan yang dilaporkan di negara kita sekarang kebanyakannya membabitkan kluster daripada institusi pendidikan di mana kanak-kanak dan remaja mungkin terdedah kepada risiko dan simptom berbanding dewasa,” katanya.

Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Samarahan, yang disyaki berkaitan jangkitan Influenza A.