
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad menjalani hukuman penjara enam tahun selepas sabitan terhadap kes rasuahnya dikekalkan.
Hakim Datuk Nordin Hassan mengekalkan penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa.
Isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, dilihat menangis ketika ahli keluarga lain cuba menenangkannya, manakala beberapa yang lain turut berpelukan sesama sendiri.
Bagaimanapun, Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kekal tenang sepanjang lebih satu jam penghakiman dibacakan.
Beliau kemudian segera dibawa polis ke bilik tahanan sebaik prosiding berakhir.
Ahli keluarganya selepas itu meninggalkan bilik mahkamah dan menuju ke kawasan lokap bagi bertemu dengannya.
Hukuman terhadap Mohd Isa itu bagi sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pemerolehan Hotel Merdeka Palace & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).
Mohd Isa akan menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.