Hujan selepas Perlis kemarau 100 hari

Foto Hiasan

PADANG BESAR: Perlis yang kemarau 100 hari dibasahi hujan rahmat di beberapa kawasan di negeri itu petang semalam.

Taburan hujan dilaporkan di sekitar Santuari Ikan Air Tawar Tasik Timah Tasoh, Beseri, Bukit Jernih, Batu Bertangkup, Belukar Lenga, Kubang Tiga, Bukit Chabang dan Semadong.

Rakyat Perlis melakukan Solat Sunat Istisqa (solat minta hujan) pada 26 Mac lalu.

Solat sunat berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bersama lebih 1,000 jemaah.

Media melaporkan cuaca panas melampau dan penyusutan air di Empangan Timah Tasoh menimbulkan kebimbangan ramai, terutamanya mengenai nasib ribuan ikan air tawar di kawasan sangkar santuari di empangan berkenaan.

Fenomena cuaca panas berpanjangan itu turut menyebabkan perkampungan lama yang sebelum ini tenggelam di dasar tasik kembali terdedah, memberikan pemandangan unik yang menjadi tarikan pengunjung.