
Sebanyak 75 peratus daripada 3,185 kes HIV yang dilaporkan pada tahun 2024 membabitkan belia berumur di antara 20 hingga 39 tahun.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, berkata majoritinya adalah lelaki iaitu 90 peratus berbanding wanita 10 peratus.
“Trend ini menunjukkan peningkatan berbanding tahun 1990an di mana wanita hanya satu dan lelaki 99 peratus,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Parlimen.
Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) berhubung keadaan semasa jangkitan HIV dalam negara termasuk jumlah pesakit.
Dzulkefly berkata, jangkitan HIV di Malaysia juga telah menunjukkan perubahan lanskap mod jangkitan yang ketara.
Jelas beliau, perubahan lanskap itu adalah daripada jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan dadah kepada jangkitan melalui transmisi seksual.