
SHAH ALAM: Tindakan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo memfitnah dan menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah biadab dan perlu dikenakan tindakan tegas.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor ketika membuat saranan itu mengecam sekeras-kerasnya tindakan blogger kontroversi berkenaan.
Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan, berkata Papagomo menerusi akaun TikTok @akaun933 didapati memuat naik satu rakaman video yang mengandungi tuduhan palsu termasuk mendakwa kononnya Anwar ingin menyekat bantuan ke Palestin serta menghina beliau dengan gelaran tidak senonoh.
“Tindakan biadab ini melampaui batas moral serta undang-undang dan jelas berniat mencemar maruah Perdana Menteri,” katanya semalam.
Menurutnya, kenyataan Papagomo bukan sekadar fitnah jenayah tetapi turut mengandungi unsur hasutan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta menanam kebencian terhadap kepimpinan negara.
“Lebih mendukacitakan apabila kenyataan berbaur fitnah ini dibuat pada ketika Perdana Menteri dan kerajaan sedang gigih memperjuangkan isu kemanusiaan global serta mempertahankan hak rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
“Tuduhan kononnya Perdana Menteri menyekat bantuan ke Palestin adalah pembohongan besar dan berniat jahat,” ujarnya.
Katanya, AMK Selangor mendesak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan undang-undang segera terhadap Papagomo mengikut peruntukan sedia ada.