Hina al-Quran: MCMC Siasat Akaun Dickie Borneo

Foto NST

CYBERJAYA: Visual di Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataannya, MCMC berkata, perbuatan itu bukan sahaja menghina Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menurutnya, semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan sudah dipadam dan akaun terbabit dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan.

“Bagaimanapun siasatan lanjut akan diteruskan. Pemantauan lanjut oleh MCMC turut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai membabitkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial.

“Semua kandungan berkaitan sudah diambil sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.