Hidupkan Kegiatan Pendekar Madani di Sekolah: PM

Foto Kosmo

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengurusan sekolah, institut pengajian tinggi (IPT) serta institut pendidikan guru (IPG) di seluruh negara menyokong dan menghidupkan penubuhan kegiatan ‘Pendekar Madani’.

Ia adalah dalam usaha membolehkan institusi berkenaan melahirkan lebih ramai pesilat dalam kalangan belia sekali gus mengangkat martabat dan darjat bangsa.

Beliau percaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dapat membantu menggerakkan kegiatan itu ke sekolah-sekolah sebelum ia digerakkan ke IPT dan IPG sebagai satu kegiatan menyatukan semangat anak muda.

“Yang kita sebut negara Madani dan kini pendekar Madani, kita menghidupkan semangat yang sudah berjalan dan saya percaya Menteri Pendidikan akan gerakkan kegiatan ini.

“Pendekar madani masing-masing persatuan (silat) tak ada masalah bagi saya, tetapi ada satu saluran utama. Kita adalah satu bangsa, satu budaya dan seni pertahankan diri ini bukan untuk bermegah, bukan untuk angkuh, bukan untuk sombong tapi untuk melatih anak-anak bangsa kita dan kita akan pastikan semua sekolah kita mendukung semangat Pendekar Madani ini.

“Dan seterusnya di Politeknik di Institut Pendidikan Guru (IPG), institut pendidikan tinggi (IPT), kita akan hidupkan ini sebagai suatu kegiatan yang menyatukan semangat anak-anak muda dengan satu matlamat, mengangkat martabat harkat dan darjat bangsa ini,” katanya.