
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menempelak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung gesaannya supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim letak jawatan
Kenyataan ketua pembangkang itu disifatkan oleh Hassan sebagai tidak bertanggungjawab.
Hassan hairan bagaimana kenyataan itu boleh terpacul daripada seorang Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia kerana ia dibuat tidak ada kena masa dan situasi, lagi-lagi terkait penahanan 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan ke Gaza.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Larut itu sepatutnya bersama menyatakan sokongan terhadap usaha Perdana Menteri untuk membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan dalam penjara Israel.
“Saya harap Hamzah selaku Ketua Pembangkang memahami bagaimana cara untuk berdepan dengan negara musuh seperti Israel yang menyerang rakyat Malaysia.
“Prinsipnya mudah. Apabila kita berdepan dengan musuh dari luar negara maka semua pihak dalam Malaysia, baik kerajaan dan pembangkang mesti bersatu.
“Dalam hal 23 orang rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel itu, maka nyawa mereka mesti kita selamatkan. Inilah tanggungjawab kerajaan,” katanya
Pada perhimpunan anjuran parti pembangkang di ibu negara kelmarin, Hamzah dilapor menggesa Anwar meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berhubung dua isu besar, berkaitan RUU PSB dan kunjungan Trump ke negara ini.
Gesaan itu dibuat ketika 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza, di tahan dalam penjara rejim Zionis.