Hari Malaysia: Jemaah Menteri seru rakyat kekal bersatu, hargai kepelbagaian

Sumber Gambar : Bernama

KUALA LUMPUR – Barisan Jemaah Menteri menyeru rakyat agar terus memelihara perpaduan, saling menghormati serta menghargai kepelbagaian sebagai asas kekuatan negara, di samping memastikan kemajuan dan kesejahteraan dinikmati bersama, sempena sambutan Hari Malaysia 2026 semalam.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sambutan berkenaan mengingatkan rakyat bahawa negara ini dibina atas persefahaman, kebersamaan dan tekad melangkah sebagai satu Malaysia. Menerusi hantaran di Facebook, beliau menegaskan cerita pembentukan Malaysia bukan milik satu negeri, wilayah atau kelompok tertentu sebaliknya milik semua rakyat dari Semenanjung hingga ke Sabah dan Sarawak, sambil mengajak rakyat terus menghargai sejarah dan memelihara perpaduan dalam semangat Segulai Sejalai.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata keamanan dan keharmonian yang dinikmati hari ini lahir daripada pengorbanan generasi terdahulu serta usaha berterusan seluruh rakyat. Menurutnya, perbezaan kaum, agama, budaya dan latar belakang bukan penghalang sebaliknya membentuk kekuatan dan identiti Malaysia, justeru tanggungjawab hari ini ialah menjaga apa yang telah dibina serta memperkukuh perpaduan sesama rakyat. Beliau turut mendoakan Malaysia terus melangkah maju sebagai negara yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan status sebagai rakyat Malaysia bukan sekadar satu identiti, tetapi juga amanah untuk bersama-sama menjaga keamanan, memelihara keharmonian dan mempertahankan kedaulatan tanah air. Katanya, Malaysia yang kuat tidak terbina dengan sendirinya sebaliknya lahir daripada rakyat yang bersatu, saling percaya dan teguh berdiri demi negara.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan mengajak rakyat terus memperkukuh semangat kebersamaan, saling menghormati dan berganding bahu membina Malaysia MADANI yang lebih maju, inklusif serta sejahtera untuk setiap lapisan masyarakat.

Sumber : Bernama