Harga Tiket ECRL Diumum Bulan Ini, Jualan Dibuka November – CEO MRL

Foto : Bernama

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyasarkan pengumuman harga tiket bagi operasi komersial Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibuat pada bulan ini, dengan jualan tiket dijangka dibuka pada November. Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata pengumuman itu akan dibuat Kementerian Pengangkutan, sementara operasi komersial ECRL dijangka bermula pada pertengahan Disember 2026.

“Kita menjangkakan harga tiket yang dinamik dan mampu milik, iaitu lebih rendah berbanding harga kapal terbang dan sedikit tinggi daripada bas,” katanya pada Taklimat ECRL kepada Pengarang Berhubung Kesiapsiagaan Operasi ECRL bersama media di sini hari ini. Bagi fasa pertama, beliau berkata perjalanan pergi balik disediakan sebanyak 12 kali dari Isnin hingga Khamis dan 14 kali dari Jumaat hingga Ahad.

Darwis turut menyatakan kepuasan terhadap kemajuan Fasa 1 (Kota Bharu–Gombak) yang mencapai 98.16 peratus setakat September lepas, sekali gus meyakinkan pihaknya bahawa sasaran operasi pertengahan Disember mampu dicapai. Beliau menekankan prestasi memberangsangkan Comprehensive Inspection Train (C.I.T.) baru-baru ini yang melengkapkan perjalanan tanpa henti dari Gombak ke Kota Bharu dalam tempoh tiga jam 19 minit, meliputi jarak 519 kilometer pada kelajuan sehingga 160 km/j — mengesahkan keupayaan ECRL menyediakan perkhidmatan ekspres laluan Gombak–KotaSAS–Kuala Terengganu–Kota Bharu dalam kurang daripada empat jam.

Rangkaian ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Selangor di pantai barat Semenanjung Malaysia. Laluan itu dijangka memendekkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam, berbanding sekitar tujuh jam menggunakan pengangkutan jalan raya.

Sumber : Bernama