Anwar Ibrahim: Ada Yang Salah Faham Isu Harga Minyak

Foto Malaysiakini

KUANTAN: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan harga minyak tidak boleh disalahkan sepenuhnya kepada kerajaan kerana ia dipengaruhi faktor global termasuk situasi di Selat Hormuz.

Bercakap di Kuantan, Pahang Perdana Menteri berkata, masalah juga menjadi lebih parah apabila pihak terbabit mahu mempolitikkan semua yang berlaku.

“Ada orang yang kurang cerdik di luar sana, dia salahkan kita…

“Kamu tak boleh salahkan kita. Kamu tak baca buku ke? Kamu tak ikut berita ke? Kamu sampai tak tahu apa yang berlaku di dunia ke?

“Kamu tidak tahu ke ada sekatan di Selat Hormuz. Ini masalahnya, semua nak dipolitikkan di negara ini,” katanya

Kira-kira 7,000 anak muda pelbagai peringkat umur hadir pada himpunan yang turut disertai Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, dan Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari itu.

Anwar dalam pada itu mengulangi kenyataan bahawa kerajaan sedang mengatur ekonomi negara bagi menyerap kesan daripada kemelut berpanjangan di antara Iran dengan Amerika dan Israel.

“Berapa harga minyak di Malaysia? RON95 antara harga minyak paling rendah di dunia, iaitu RM1.99 seliter… orang politik yang tidak mengikuti perkembangan, dia terus marah.

“Tanya di negara-negara jiran, semua beratur (sebab) catuan minyak tak cukup, di negeri jiran… ada masalah di negara-negara jiran ada catuan, tak boleh beli minyak lebih.

“Ada sebuah negara jiran di Asean, lebih 400 kedai minyak sudah ditutup… di Malaysia, alhamdulillah, kita boleh bertahan,” jelasnya.