
KOTA BHARU: Harga beberapa juadah di bazar Ramadan dikesan naik di antara RM0.50 hingga RM2 dan alasan peniaga ialah peningkatan kos bahan mentah yang membebankan.
Contohnya, tinjauan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, mendapati sebungkus lauk gulai kawah yang dijual pada harga RM10 tahun lalu, kini dijual antara RM12 hingga RM15.
Peniaga lauk pauk, Norhasuzi Othman, 46, berkata, mengakui kenaikan harga santan yang mencecah sehingga RM15 sekilogram menyebabkan harga gulai kawah yang dijual terpaksa dinaikkan sebanyak RM2.
“Harga gulai kawah yang dijual pada tahun ini adalah di antara RM12 hingga RM15 satu bekas berbanding hanya RM10 pada tahun lalu.
“Walaupun berlaku kenaikan harga, kebanyakan pelanggan tetap, khususnya yang menggemari gulai kawah masih menjadikan gerai saya sebagai pilihan untuk mendapatkan juadah berkenaan,” katanya.
Bagi peniaga kuih tradisional, Abdul Rahman Abdul Aziz, 37, kenaikan harga bahan mentah terutamanya telur memberi kesan kepadanya yang lebih 10 tahun mengusahakan perniagaan kuih muih tradisional.