Harga diesel melambung, subsidi bersasar kekal

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Harga bahan api global meningkat ketara melepasi paras amaran, menyebabkan krisis tenaga semakin meruncing dan memberi tekanan kepada pasaran domestik.

Menurut Kementerian Kewangan, harga minyak mentah Brent global melonjak lebih 40 peratus sehingga melepasi AS$100 setong.

Tekanan sebenar terhadap harga runcit tempatan berpunca daripada rantaian produk ditapis.

Kementerian itu mendedahkan harga minyak diproses bagi petrol dan diesel masing-masing meningkat kepada sekitar AS$150 setong dan AS$250 setong.

Walaupun berdepan lonjakan kos yang tinggi, kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan terbabit.

“Sejak krisis Asia Barat meletus, kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga runcit di pam malah masih menampung sebahagian kos subsidi petrol dan diesel bagi tempoh tiga minggu berturut-turut,” jelas kenyataan kementerian itu.

Kesan kenaikan harga global itu dapat dilihat melalui anggaran harga runcit tanpa subsidi bagi tempoh 2 hingga 8 April 2026, apabila harga diesel di Semenanjung meningkat kepada RM6.02 seliter berbanding RM5.52 seliter pada 1 April.

Bagi petrol tanpa subsidi, harga RON97 menurun kepada RM4.95 seliter daripada RM5.15 sebelum ini, manakala RON95 kekal pada kadar RM3.87 seliter.