
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 untuk mengehadkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, hanya sejumlah 146 ahli Parlimen menyokong RUU itu manakala 44 ahli Parlimen tidak mengundi atau berkecuali dan 32 ahli Parlimen tidak hadir.
Undian secara blok dilakukan sejurus selesai dibahaskan oleh 41 ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan ahli Parlimen.
Ini menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.
RUU berkenaan dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diikuti sesi perbahasan oleh ahli Parlimen.
Semasa penggulungan RUU itu, Azalina menegaskan, RUU terbabit dirangka serta dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan penghormatan yang tidak berbelah bagi terhadap institusi Raja-Raja.
Menurutnya, Perlembagaan sendiri sudah diperuntukkan secara jelas kategori pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 1595 dan Perkara 38(4).