
SEPANG: Guru Bahasa Inggeris yang menyebarkan maklumat mendakwa Allahyarham Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh didakwa di Mahkamah Majistret semalam.
Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan menimbulkan kegentaran awam mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan itu dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa membuat kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.
Ibu tunggal itu didakwa membuat kenyataan di akaun Tiktok miliknya ‘SHA_Abrienda’ pada jam 1.20 petang, 6 Ogos lalu.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya.