
SHAH ALAM: Seorang guru wanita ditahan kerana disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Bandar Rimbayu, Kuala Langat, pada 18 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, berkata ia susulan laporan dibuat ibu mangsa pada jam 9 malam 24 Ogos lalu sebelum guru berumur 38 tahun itu ditahan pada hari sama.
Dalam insiden kira-kira jam 6 petang itu, beliau berkata, guru berkenaan didakwa mengheret mangsa dari kelas ke bilik air dengan menarik rambutnya.
Selain itu, katanya, suspek turut didakwa memukul kepala kanak-kanak berkenaan dengan menggunakan tudung saji kecil dan botol air.
Beliau berkata, ibu mangsa kemudian memperoleh maklumat berhubung kejadian itu dan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis terbabit.
“Pada 22 Ogos lalu, wanita itu meneliti rakaman berkenaan dan mendapati kejadian benar-benar berlaku berdasarkan semakan terhadap rakaman CCTV,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.