
KUALA LUMPUR: Teknologi harus digunakan seiring tanggungjawab dan etika dalam membentuk sahsiah dan daya tahan remaja perempuan, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Wan Azizah, yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), berkata kemajuan teknologi termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang perlu dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan.
“Kemajuan teknologi yang dicapai pada masa kini haruslah digunakan untuk tujuan yang murni. Kita tidak mahu ketinggalan. Walaupun AI mempunyai potensi besar, ia perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab.
“Pada masa sama, kita perlu bersama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ahli Pandu Puteri mempunyai jati diri yang tinggi serta seimbang dari sudut pembangunan insan, mempunyai empati yang tinggi, luhur budi pekerti dan mengamalkan nilai ketimuran dan adab sopan yang sesuai,” katanya.