
KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat dan Iran perlu mengelak ketegangan dan kembali memberikan komitmen bersungguh-sungguh terhadap pendekatan diplomasi di antara dua negara itu.
Seruan itu ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang percaya keutamaan terhadap keamanan perlu mengatasi semua pertimbangan lain dengan memanfaatkan sepenuhnya saluran komunikasi sedia ada.
Beliau berkata, sebarang tindakan konfrontasi di antara Washington dan Teheran akan membawa implikasi besar terhadap Asia Barat.
Perdana Menteri juga menggesa semua negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan segala daya bagi mengurangkan konfrontasi demi kepentingan kestabilan wilayah serantau dan antarabangsa.
“Dalam hal ini, Malaysia memuji usaha konstruktif Oman sebagai pemudah cara dialog dan meredakan ketegangan.
“Malaysia juga menggesa semua negara yang mempunyai pengaruh supaya menggunakan segala cara yang ada bagi menggalakkan tindakan bagi mengurangkan konfrontasi,” katanya.