Gubal Akta Psikologi Tangani Isu Buli

Gambar Hiasan

Kerajaan disaran menggubal Akta Psikologi Malaysia sebagai pendekatan holistik serta empati bagi menangani isu buli di negara ini dengan bantuan sokongan psikososial yang betul.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, menyifatkannya sebagai antara langkah terbaik dalam usaha itu.

Katanya, hukuman berat hanya berfungsi sebagai amaran tetapi tidak mencukupi untuk menyelesaikan akar masalah buli yang berpunca daripada faktor psikososial seperti trauma, keluarga toksik, kurang didikan emosi, pengaruh rakan sebaya dan masalah kesihatan mental.

Justeru, beliau berkata, penggubalan akta itu adalah antara lima pendekatan dicadangkan PSIMA dalam menangani isu berkenaan.