
SEPANG: Israel membebaskan semua 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF)dan mereka kini selamat tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 8.40 malam semalam..
Mereka dibawa menaiki penerbangan komersil Turkish Airlines yang ditaja oleh kerajaan Turki.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim, berkata ketibaan mereka turut disambut oleh Kedutaan Malaysia di Turki, Wisma Putra serta kerajaan Turki.
“Mereka akan bermalam di Istanbul di bawah jemputan dan tajaan kerajaan Turki sebelum diterbangkan pulang ke tanah air menggunakan penerbangan Turkish Airlines yang juga ditaja sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Mapim Central Warehouse.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis Israel sudah dibebaskan.
Perdana Menteri berkata, mereka dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel, sebelum menuju Istanbul.
Katanya, semua aktivis Malaysia berkenaan dijangka mula pulang ke tanah air, esok malam atau lusa.
“Alhamdulillah, sekarang 23 aktivis sedang menuju ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel.
“Rundingan saya dengan Ketua Risikan Malaysia yang ada di Ankara ketika ini untuk menyelaraskan bersama Duta Besar dan Kedutaan Malaysia di Ankara.
“Mereka akan berlepas pulang, esok malam atau lusa. Itu kita sedang atur,” katanya dalam kenyataan secara langsung melalui Facebook beliau.
.