
KOTA KINABALU: Jumlah kerusi sudah mencukupi bagi Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihanraya Negeri (PRN) ke-17.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata Pengarah Operasi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sedang berunding dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bagi memuktamadkan pembentukan kerajaan baru.
“Insya Allah saya dimaklumkan kita cukup jumlah untuk membentuk kerajaan negeri pada malam ini.
“PH berbesar hati kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk di Sabah malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dan Preside Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Fuziah turut berkata pihaknya menerima dan menghormati keputusan pengundi negeri ini dengan hati terbuka.
“Selaku Setiausaha Agung PKR, saya mewakili rakan-rakan dalam PH ingin menyatakan begitu juga bahawa kami terima keputusan yang telah diberikan oleh pengundi di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana PH bertanding.
“Segala kelemahan ini akan kita lihat dan segala kekuatan juga akan kita lihat. Tentu sekali ada banyak pengajaran yang boleh kita pelajari daripada proses ini,” katanya.