Graduan TVET Mara laku di pasaran

Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Kebolehpasaran tinggi Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (Mara) membuktikan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan industri yang dilaksanakan Mara.

Catatan kadar kebolehpasaran tinggi mencecah di antara 96 hingga 97.9 peratus dalam tempoh 2023 hingga 2025 itu mengatasi sasaran nasional.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata pencapaian konsisten itu membuktikan keberkesanan pendekatan latihan berasaskan industri yang dilaksanakan Mara.

Beliau berkata, kejayaan itu didorong pelaksanaan pelbagai program pemerkasaan TVET yang menekankan latihan industri, pensijilan profesional serta kerjasama strategik bersama syarikat utama.

“Berdasarkan sistem kajian pengesanan graduan seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kebolehpasaran graduan TVET Mara pada 2023 mencatat 96.5 peratus, manakala pada 2024 (97.9 peratus) dan 2025 (96 peratus), melebihi sasaran nasional yang ditetapkan,” katanya.