Golongan B40 Lega RON95 RM1.99 Seliter

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam disifatkan oleh orang ramai sebagai mampu meringankan beban rakyat.

Harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 bermula 30 September ini adalah berita gembira buat rakyat dan rata-rata berasa lega dalam keadaan hidup semakin mencabar.

Berita Harian dalam temubual dengan mekanik, Zarul Ikhram, melaporkan penurunan minyak itu inisiatif yang bagus untuk pengguna petrol RON95 terutama dalam kalangan B40.

“Saya pengguna RON95 dan menaiki motosikal setiap hari pergi dan balik ke tempat kerja. Jadi, inisiatif ini boleh mengurangkan beban saya dan juga rakyat Malaysia.

“Contohnya, dalam seminggu saya mengisi minyak sebanyak RM10, tetapi selepas subsidi yang diberikan kerajaan, saya dapat kurangkan lagi jumlah itu,” kata Zarul.

Pelajar universiti, Aqif Azahari, pula berkata penguatkuasaan ini sesuatu yang sudah lama ditunggu-tunggu rakyat.

Katanya, manfaat utama semua rakyat dapat menikmati subsidi yang diberikan kerajaan sekali gus meringankan beban.

Beliau berkata, apatah lagi petrol antara perbelanjaan penting dalam pengurusan kewangan isi rumah.

“Hari ini perbelanjaan semakin meningkat, jadi jika harga minyak ini diturunkan ia dapat membantu meringankan kos sara hidup, terutama di sekitar bandar utama,” katanya.