
KUALA LUMPUR: Global Sumud Flotilla (GSF), yang menghimpunkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, dijadual berlepas dari Barcelona ke Gaza pada 12 April.
GSF dalam kenyataannya memaklumkan misi itu bertujuan menentang kepungan Israel ke atas Gaza selain memberikan respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.
Misi itu menggabungkan usaha terancang yang diselaraskan dengan mobilisasi antarabangsa di darat, menghubungkan solidariti, advokasi undang-undang dan tekanan masyarakat pada peringkat akar umbi yang merentasi pelbagai negara.
“GSF belayar kerana kesan lebih buruk perlu ditanggung jika tidak bertindak. Ketika Gaza berdepan sekatan, keganasan dan penafian yang semakin memuncak, misi ini merupakan intervensi berprinsip dan tanpa kekerasan, mempertahankan maruah manusia, menggesa akses kemanusiaan serta menuntut kebertanggungjawaban antarabangsa.
“Ini untuk mencabar sekatan dan keganasan, serta memperlihatkan tindakan politik dan solidariti yang terselaras di seluruh dunia,” menurut GSF.
Menurut kenyataan itu, misi GSF tahun ini dirancang untuk memberikan impak, dan menyifatkannya sebagai intervensi awam yang disusun rapi pada saat keganasan dan krisis kemanusiaan semakin memuncak.
Misi itu turut disertai petugas awam termasuk doktor, guru dan pembina ekologi, yang bersedia memberikan bantuan segera, perkhidmatan penjagaan komuniti dan pembinaan semula pada peringkat awal bersama-sama dengan rakyat Palestin.