
TANJONG MALIM, 30 September 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) buat julung kalinya akan menganjurkan Global Educator Award (GEA) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan pendidik dari seluruh dunia, bermula 2 hingga 4 Oktober ini di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran anugerah berprestij itu membuktikan peranan UPSI sebagai universiti pendidikan utama negara yang terus komited mengangkat martabat pendidik ke peringkat global.

“Global Educator Award bukan sahaja meraikan kecemerlangan pendidik, malah menjadi wahana penting untuk menghubungkan lebih ramai tokoh pendidikan antarabangsa dengan warga pendidik tempatan. Inilah platform terbaik untuk bertukar idea, berkongsi kepakaran dan memperkukuh jaringan kerjasama,.
Menurut beliau, lebih 200 peserta antarabangsa dari 51 negara dan 3,000 peserta tempatan dijangka menghadiri program tersebut yang menampilkan pelbagai pengisian termasuk forum, pameran, lawatan ke sekolah dan sesi bual bicara di Panggung Percubaan dan Dewan Tuanku Canselor.
Majlis penutup dan penganugerahan akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir pada 4 Oktober.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang akan berkongsi pandangan serta kepakaran mengenai hala tuju pendidikan di Malaysia dan peringkat global.
GEA 2025 mempertandingkan lima kategori utama iaitu Anugerah Guru Avant-Garde, Anugerah Pendidik Guru yang Dihormati, Anugerah Institusi Pendidikan Transformasi, Anugerah Pendidik Jangkauan Komuniti dan Anugerah Pemimpin Pendidikan yang Berinspirasi.
“Dengan penyertaan yang merangkumi 51 negara, UPSI yakin GEA 2025 akan menjadi acara pendidikan bertaraf antarabangsa yang berupaya melonjakkan nama Malaysia di mata dunia, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Program yang terbuka kepada semua warga pendidik, guru, pensyarah dan alumni itu dijangka menjadi medan bersejarah dalam menyemarakkan semangat memperkasa pendidikan untuk generasi masa depan,” ujar beliau.
