GKMM Mohon Kerajaan Kekalkan Kuota 300L RON95 Untuk Wartawan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) telah memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar agar mereka terus menikmati kuota 300-liter petrol RON95 sebulan seperti sebelumnya. Permohonan ini dibuat berikutan penyelarasan program Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang mengurangkan had kuota bulanan individu daripada 300-liter kepada 200-liter berkuat kuasa 1 April lalu.

GKMM menyatakan pengurangan kuota ini telah memberikan cabaran besar kepada wartawan, jurugambar dan juruvideo yang perlu berulang-alik ke lokasi liputan setiap hari terutama mereka yang bertugas di negeri-negeri yang memerlukan perjalanan jauh. Akibatnya, ramai pengamal media menghadapi masalah kuota petrol habis sebelum bulan berakhir, sekali gus mengganggu kelancaran tugas liputan di lapangan.

GKMM menegaskan langkah pengecualian yang dimohon itu bukan sahaja akan membantu pengamal media menjalankan tugas dengan lebih lancar, malah turut meringankan beban kos operasi yang semakin meningkat dalam keadaan kos sara hidup yang mencabar ketika ini. Pertubuhan itu berharap kerajaan mengambil kira peranan penting media dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

Pengurangan kuota BUDI95 kepada 200 liter sebulan dilakukan susulan konflik berterusan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga minyak global, manakala harga petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter. GKMM berharap kerajaan mempertimbangkan permohonan ini dengan segera bagi memastikan ekosistem kewartawanan negara tidak terjejas.

Sumber: Bernama