
SHAH ALAM: Jurubahasa Mahkamah ambil masa lima jam untuk membacakan 273 pertuduhan pengubahan wang haram RM43.9 juta membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn Bhd dan tiga bekas akauntannya, petang ini.
Selesai pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud CEO GISBH Nasiruddin Mohd Ali, 66 dan tiga bekas akauntan Hamimah Yakub, 73, Mohd Khushairi Osma, 54, dan isterinya, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, mengaku tidak bersalah.
Nasiruddin berdepan 109 pertuduhan membabitkan nilai keseluruhan RM14 juta, Hamimah (69 pertuduhan – RM4.6 juta), Mohd Khushairi (54 pertuduhan – RM20.3 juta) manakala Asmanira (41 pertuduhan – RM5 juta).
Berdasarkan pertuduhan yang mula dibacakan jam 10 pagi, keempat-empat mereka masing-masing menerima dan memindahkan wang melalui 10 akaun berbeza antaranya di Bandar Baru Bangi, Rawang, Subang, Kajang dan Puchong antara 2020 hingga 2024.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Mohd Marzuki, Megat Mahathir Megat Tharih Affendi dan P Sangari manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Datuk Rosli Kamaruddin.