
SEPANG: Selepas ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), tiga ahli Kapten Praba akan dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman memutuskannya selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes berkenaan kerana berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tiga tertuduh terbabit ialah C. Navindren Raj, 38; S. Pratifkumar, 30 dan S. Sridharan, 30.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepada ketiga-tiga tertuduh dalam bahasa Tamil.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Kapten Praba’ di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Mahang, Kampung Sungai Jarom, Jenjarom, Kuala Langat di antara Disember 2023 hingga 11 September 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, V.V Suloshani dan Lina Hanini Ismail.