
Kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim merealisasikan gencatan senjata Kemboja-Thailand, adalah satu pencapaian besar yang mencerminkan kekuatan semangat Asean serta bukti komitmen Perdana Menteri terhadap diplomasi berpaksikan dialog.
Sambil menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan itu, Pengerusi Yayasan RIGHTS, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, berkata kewibawaan dan kepimpinan bermoral Anwar sekali lagi membuktikan kepimpinan yang berprinsip, inklusif serta berpaksikan dialog mampu merungkai ketegangan serantau yang paling meruncing.
Pengarang buku ‘Anwar Ibrahim: Global Justice and Peace Through Dialogue’ itu berkata, kejayaan merealisasikan gencatan senjata berkenaan bukan sahaja pencapaian besar dalam diplomasi.
Bahkan, katanya, ia juga kemenangan buat semangat Asean, kestabilan serantau dan paling penting, untuk rakyat Kemboja serta Thailand yang berhak menikmati keamanan dan keselamatan.