
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) mengesahkan semua infrastruktur dan fasiliti paip gas syarikat kekal selamat serta beroperasi seperti biasa susulan gegaran kecil yang berlaku berhampiran Segamat, Johor, pagi semalam.
Menurut PGB, sebaik menerima makluman mengenai gegaran itu, pasukan teknikal dan serantau syarikat segera melaksanakan prosedur keselamatan standard yang telah disediakan untuk sebarang kejadian seumpamanya di Wilayah Selatan.
“Sebagai sebahagian prosedur ini, pemeriksaan dijalankan di Stesen Pemampat Segamat, Stesen Kawalan Segamat serta sepanjang jajaran paip berkenaan.
“Hasil semakan mendapati tiada sebarang ketidaknormalan atau gangguan operasi,” katanya.
Selain itu, katanya pemantauan secara langsung melalui sistem SCADA turut mengesahkan tahap tekanan dan parameter operasi berada dalam keadaan stabil.
PGB menegaskan pihaknya terus menjalinkan komunikasi rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Meteorologi Malaysia bagi mendapatkan maklumat terkini.