Gaji Permulaan RM2,500 Graduan Baharu: SPA Tunggu Pekeliling

Foto : Bernama

KUALA KANGSAR – Pelaksanaan gaji permulaan RM2,500 bagi graduan baharu dalam perkhidmatan awam yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 masih menunggu pekeliling rasmi yang akan memperincikan kaedah, tempoh pelaksanaan serta komponen pembayaran berkaitan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata butiran tersebut perlu ditetapkan terlebih dahulu sebelum inisiatif itu boleh dijalankan.

“Kita menyambut baik apa yang telah diumumkan melalui belanjawan, tetapi bagaimana ia dilaksanakan harus menunggu kaedah yang ditetapkan menerusi pekeliling. Perkara ini memerlukan tatacara yang lebih terperinci, termasuk bagaimana ia hendak dilaksanakan dan tempoh pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru di sini hari ini.

Beliau berkata persiapan bagi pelaksanaan inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan lazimnya dimulakan pada tahun pengumuman dibuat, bagi membolehkan ia dilaksanakan pada tahun berikutnya. “Insya-Allah, kita doakan perkara ini dapat dilaksanakan pada awal tahun depan,” katanya.

Mengulas sama ada kadar RM2,500 itu merangkumi elaun lain, Ahmad Jailani berkata perkara tersebut akan diteliti dan diperjelaskan menerusi pekeliling rasmi. Penelitian terperinci diperlukan memandangkan pelaksanaannya membabitkan peruntukan kewangan yang besar serta jumlah penerima manfaat yang ramai. “Perkara ini mesti dibuat dengan cara yang lebih teliti dan teratur. Saya yakin, pihak yang bertanggungjawab telah menjalankan tugas mereka dan perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sumber : Bernama