Gaji menteri dipotong 20 peratus, gaji hakim naik hingga 30 peratus

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan kenaikan gaji hakim sehingga 30 peratus bermula 1 Januari 2026. Kali terakhir pelarasan dibuat adalah pada tahun 2015, dan sejak itu golongan ini tidak menikmati kenaikan tahunan seperti skim perkhidmatan lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan penghargaan terhadap badan kehakiman yang kini dilihat semakin berwibawa, berintegriti dan bebas.

“Ia memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya Ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam.

Menurutnya jemaah menteri kekal komited dengan pemotongan 20 peratus gaji, menunjukkan solidariti dan tanggungjawab bersama dalam mengimbangi keutamaan fiskal negara.

Katanya, kerajaan akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 bagi penjawat awam bermula Januari 2026 yang turut merangkumi kenaikan gaji melibatkan peruntukan RM18 bilion, serta pelbagai bantuan lain seperti STR dan SARA bulanan.

“Sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat awam dan tokoh agama, kerajaan turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada penjawat awam gred 56 ke bawah serta RM250 kepada pesara dan veteran tentera, yang akan disalurkan menjelang Aidilfitri 2026.

“Seramai 70,000 guru Kafa, imam, bilal dan tok siak akan menerima sumbangan khas RM500, dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM35 juta,” katanya.