
KANGAR: Tidak ramai generasi muda mengetahui istilah menggagau belut atau haruan.
Untuk mendedahkannya kepada anak muda serta menghidupkan aktiviti tradisional masyarakat desa ini, pertandingan menggagau belut dan ikan haruan dalam petak sawah berdekatan Dataran Kangar Jaya di sini, sempena Pesta Angin Timur (PAT) Perlis 2026 diadakan.
Ia memberi peluang kepada generasi muda merasai sendiri aktiviti tradisional masyarakat desa yang semakin dilupakan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK) merangkap urus setia pertandingan Affendi Rajini Kanth berkata pertandingan menggagau belut berlangsung semalam manakala hari ini melibatkan ikan haruan, yang mendapat penyertaan ramai.
Beliau berkata peserta pertandingan dan pengunjung PAT Perlis 2026, terutama golongan muda masing-masing berpeluang merasai dan melihat sendiri suasana masyarakat kampung yang turun ke petak sawah untuk menggagau ikan dan belut menggunakan serkap atau tangan.
“Suasana itu kami cuba hidupkan semula dan Alhamdulillah sambutan memang meriah,” katanya kepada Bernama selepas pertandingan menggagau ikan haruan yang berlangsung pada sebelah petang hari ini.
Edisi ke-14 PAT Perlis 2026 bermula pada 6 Feb anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN dan Kerajaan Negeri Perlis bagi mempromosikan keunikan budaya serta warisan negeri selaras usaha menyokong kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.