
KUALA LUMPUR: Kabinet yang dirombak hari ini menyaksikan gabungan pemimpin veteran dan muda sebagai langkah tepat bagi memastikan pelaksanaan agenda Malaysia Madani dapat dilaksanakan sebaik-baiknya.
“Ada yang senior dan yang junior.. orang veteran, muda. Jadi, dapat kita letakkan dalam satu `team’ yang baik untuk memastikan supaya agenda Madani itu dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Dan kita harapkan dengan adanya Kabinet ini, ia akan benar-benar melaksanakan agenda seperti dikenalkan (iaitu) agenda perubahan disebutkan oleh beliau (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum ini,” kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Perdana Menteri pada sidang media khas hari ini mengumumkan rombakan Kabinet membabitkan 11 portfolio.
Antara dilantik menggangotai Kabinet baru itu adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan menggantikan Hannah Yeoh yang bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Selain itu, enam timbalan turut menteri dinaikkan pangkat.
Antaranya, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustafa Sakmud mengambil tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad.