G20 perlu bertegas isu Gaza. Sudan, Ukraine: Anwar

Foto Bernama

JOHANNESBURG: Negara Selatan Global berharap bertegas untuk menamatkan kekejaman dan penjajahan berterusan di Gaza, serta konflik di Sudan dan Ukraine, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, harapan itu lebih menyerlah kerana Sidang Kemuncak Pemimpin G20 berlangsung di sebuah negara yang mereka sendiri telah melalui pengalaman paling tidak berperikemanusiaan akibat apartheid dan penjajahan.

Afrika Selatan adalah negara Afrika pertama yang mempengerusikan G20.

“Kita berkumpul di sebuah negara dan benua yang telah mengalami aspek paling tidak berperikemanusiaan akibat apartheid dan penjajahan.

“Negara-negara di selatan mengharapkan G20 memperjuangkan agenda yang adil dan saksama,” kata Perdana Menteri ketika menyampaikan intervensi pada Sesi 1 Sidang Kemuncak Pemimpin G20 bertajuk: “Pertumbuhan Ekonomi Inklusif dan Mampan Tanpa Ada Yang Ketinggalan: Membina Ekonomi Kita; Peranan Perdagangan; Pembiayaan untuk Pembangunan; dan Beban Hutang,” di sini.

“(G20 perlu) berpendirian tegas dalam usaha kita menamatkan kekejaman dan penjajahan di Gaza, menamatkan konflik sivil di Sudan dan mencapai penyelesaian damai bagi perang di Ukraine,” kata beliau.