
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berpesan supaya sambutan Tahun Baru Cina diraikan dengan semangat menyemai perpaduan dan tidak sibuk dengan urusan lain.
“Jangan sibuk soal-soal lain… nantilah, sabar. Hari ini kita fokus kepada semangat rakyat bersama satu sama lain,” tegas Perdana Menteri,
“Hari ini hari yang patut tumpukan kepada semangat perpaduan sewaktu sambutan Tahun Baru Cina. Itu yang penting sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita pada sambutan Tahun Baharu Cina MCA di Wisma MCA, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Anwar berkata demikian selepas ditanya pemberita mengenai tindakan terhadap Ahli Parlimen PKR Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mempersoalkan beberapa tindakan kerajaan, termasuklah isu terbaru berkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Sebelum itu, Perdana Menteri tiba di Wisma MCA sambil disambut Ka Siong dan dalam ucapannya kemudian, berkata Tahun Kuda akan menjadi simbolik kepada pertumbuhan ekonomi lebih baik kepada negara tahun ini.