Fitnah Anwar guna logo akhbar Utusan

Foto Utusan Malaysia

PETALING JAYA: Utusan Malaysia membuat laporan polis berhubung penyebaran satu hantaran di media sosial yang menggunakan nama dan logo akhbar ini bagi menyebarkan berita fitnah berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan itu susulan satu hantaran dimuat naik di laman sosial Facebook di atas nama pemilik akaun Khairul Azfar Mansor yang menggunakan tajuk palsu iaitu ‘Anwar akui banyak kesilapan perjanjian dengan US’.

Hantaran itu direka seolah-olah ia dilaporkan oleh Utusan Malaysia sedangkan berita itu tidak pernah diterbitkan oleh organisasi ini dalam apa jua platform.

Hantaran palsu itu telah meraih lebih daripada 1,300 reaksi dan lebih 250 perkongsian setakat ini sekali gus menyebabkan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial dan mencemarkan reputasi Utusan Malaysia.

Utusan Malaysia memandang berat tindakan berkenaan kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan serta integriti organisasi media ini dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai. – UTUSAN