
“Saya terkejut, panik dan tidak dapat membuat keputusan yang wajar ketika kejadian. Tiada nasihat diberikan dan jika kami tahu, kami tidak akan tandatangan dokumen menolak bedah siasat itu,” kata Noraidah Lamat iaitu ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir.
Wanita berusia 45 tahun itu mengakui beliau tidak dapat berfikir dengan waras ketika diminta untuk memberi kebenaran bagi menjalankan bedah siasat ke atas anaknya, Zara Qairina,13, yang meninggal dunia pada 17 Julai lalu.
“Tiada penjelasan yang jelas dan kami memang tidak biasa dengan kes seperti ini. Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat.
“Jika kami tahu (kepentingan membuat bedah siasat), kami tidak akan tandatangan dokumen bagi menolak bedah siasat itu,” katanya dalam satu komen di Facebook.
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik Noraidah.
Kelmarin, Bukit Aman mendedahkan memang terdapat ketidakpatuhan prosedur oleh pihak polis kerana gagal menjalankan bedah siasat.