Fasiliti ‘super magnet’ perkukuh industri nadir bumi

Foto PMO

GYEONGJU: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri nadir bumi negara bakal diperkukuh menerusi pembangunan kemudahan pembuatan magnet berkuasa tinggi bernilai RM600 juta oleh JS Link bersama Lynas Malaysia di Pahang.

Perdana Menteri berkata, persiapan awal projek berkenaan telah dilaksanakan dan beliau akan bertemu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membincangkan perkembangan lanjut.

Menurutnya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, akan meninjau tapak bagi mempercepatkan pelaksanaan pelaburan itu Isnin.

“JS Link sudah membeli tanah dan bersedia memulakan operasi…. ini bukan lagi soal memorandum persefahaman kerana pelaburan telah masuk.

“Jadi usaha kerajaan kini adalah mempercepat proses agar projek dapat berjalan segera,” katanya ketika bercakap kepada media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di sini.