
KUCHING – Generasi muda perlu memahami sejarah pembentukan Malaysia dan menghayati perjuangan generasi terdahulu dalam membina sebuah negara yang aman dan bersatu, di samping menjauhi amalan rasuah yang boleh merosakkan masa depan negara.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata terdapat tiga perkara yang berpotensi menghancurkan negara iaitu komunisme, komunalisme dan rasuah. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program JIWA@Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Politeknik Kuching di sini, hari ini.
Menurutnya, komunisme pernah menjadi ancaman besar kepada keselamatan negara menerusi gerakan bersenjata, pembunuhan dan gangguan terhadap keamanan yang boleh menjejaskan kestabilan Malaysia. Walaupun ancaman tersebut berjaya diatasi, katanya, masyarakat perlu terus berwaspada terhadap unsur yang mampu menggugat perpaduan termasuk komunalisme, iaitu apabila seseorang hanya mengutamakan kaum sendiri sehingga memandang rendah atau menindas kaum lain.
Fahmi turut menegaskan bahawa memegang sesuatu jawatan adalah satu amanah dan kepercayaan untuk melakukan kebaikan, lantas mengingatkan agar kepercayaan itu tidak sekali-kali dirosakkan.
Beliau berkata pembentukan Malaysia adalah sesuatu yang unik kerana dibina menerusi konsensus dan perundingan, berbeza dengan sesetengah negara yang terpaksa melalui konflik atau perjuangan bersenjata untuk mencapai kemerdekaan. Justeru, katanya, generasi muda memikul peranan penting memastikan sejarah dan nilai yang membentuk negara terus dipelihara supaya Malaysia kekal aman, bersatu dan maju pada masa hadapan.
Sumber : Bernama